Projek tempatan menangi Anugerah Khas Duli Pengiran Muda Mahkota 2025



​​

Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammed Marherman Hanaffi Haji Omar






BERAKAS, Rabu, 2 Julai. - Pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan apabila sebuah projek tempatan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Duli Pengiran Muda Mahkota 2025.


Dr. Law Kah Haw dan Awang Mohammad Asri bin Puasa dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan projek bertajuk 'Novel Filter-Less Single-Source Extendable Switched-Capacitor Boost Multilevel Inverter Suitable for Renewable and Industrial Applications' membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND8,000 bersama piala rebutan dan sijil penghargaan.


Penerangan ringkasan penilaian keseluruhan daripada juri-juri CIPTA 2023 disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Pengiran Dr. Rafidah binti Pengiran Haji Petra dan kemudiannya pengumuman projek-projek yang menang.


Pada pertandingan kali ini, CIPTA 2025 telah menerima sebanyak 97 penyertaan di mana sebanyak 73 penyertaan telah maju untuk pusingan penghakiman akhir. Kebanyakannya adalah terdiri daripada Institusi-institusi Pengajian Tinggi dan Sekolah-sekolah.


Bagi Local Category One yang menumpukan kepada ciptaan produk, proses atau teknologi baharu, tiada pemenang tempat pertama dan kedua diumumkan.


Sementara, tempat ketiga dimenangi oleh projek bertajuk 'Halal Green Military Ration Innovation for Brunei' hasil ciptaan Dayang Fatin Nuratikah binti Haji Asbi dan Dayang Zu Mirratin Munira binti Haji Mohammad Affno dari UTB.


Mereka menerima wang tunai sebanyak BND3,000 bersama pingat gangsa, trofi dan sijil.


Manakala, Local Category Two yang memfokuskan kepada pengubahsuaian produk, proses dan teknologi sedia ada menyaksikan kejayaan cemerlang, apabila projek Dr. Law Kah Haw dan Awang Mohammad Asri bukan sahaja menjuarai kategori tersebut malah menerima dua anugerah khas sekali gus, iaitu Anugerah Khas Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 dan Special Award for Sustainable Energy for Local Category 2.


Mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah BND7,000 termasuk pingat emas, sijil dan trofi, juga BND1,500 bagi Anugerah Special Award.


Tempat kedua pula dimenangi projek 'Skyv-AI (Next Generation Anamolies Detection; Corrosion Detection)' dari Skyvision BN yang membangunkan sistem pengesanan kakisan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI). Mereka menerima wang tunai BND5,000, pingat emas, trofi dan sijil.


Manakala, tempat ketiga, iaitu projek penyelidikan pertanian 'Development of Organic Foliar Spray Formulation for Enhanced Crop Growth and Yield' oleh Dayang Dr. Hartini binti Haji Mohd. Yasin, D. Tan Ai Ling dan Dayang Nurul Syazana binti Haji Affandi, dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) turut menerima pengiktirafan dengan hadiah wang tunai sebanyak BND3,000, trofi dan sijil.


Dalam Local Category Three yang menampilkan pencipta muda, iaitu pasukan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan yang terdiri daripada Lee Jing Jing, Fong Chee Shane dan Awang Muhammad Faiq bin Fakhrul Anwar dengan projek bertajuk 'Earth Battery: Sustainable Harvest' muncul sebagai juara.


Mereka membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah BND3,500 berserta pingat emas dan Anugerah Special Award for Sustainable Energy for Local Category 3, dengan hadiah wang tambahan sebanyak BND1,000.


Manakala, tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah melalui projek pemantauan tumbuhan 'Smart Multi-Sensor for Efficient Plant Monitoring'.


Awang Abdul Wadud bin Haji Muhammad Hairol Nizam, Awang Abdul Waliyy bin Abdul Aziz dan Awang Muhamad Nur Asyraf bin Haji Md. Daud, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND2,000, pingat perak dan sijil.


Sementara tempat ketiga dimenangi oleh para pelajar dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, iaitu Awang Muhammad Syaahir Azib bin Haji Rumaizi; and Dayangku Khalisha Syarafana binti Pengiran Haji Md. Saiful Redzuan melalui projek 'Al-Soefe (The Source of Electricity From Electrolysis)' yang berasaskan penjanaan elektrik melalui elektrolisis. Mereka menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000, pingat perak, trofi dan sijil.


Bagi Pertandingan Smart Junior pula menyaksikan kejayaan pasukan dari Chung Hua Middle School, Kuala Belait melalui projek 'Wind - An Alternative Power Source For Moving Vehicles', ciptaan Jiya Maria Jai, Chawalot Ho Xuan Yi dan Callum Singh Sekhon.


Mereka menerima wang tunai BND1,500, pingat emas, trofi dan sijil, serta Anugerah Special Award for Sustainable Energy untuk kategori tersebut, dengan hadiah wang tunai sebanyak BND1,500.


Sementara tempat kedua dimenangi oleh Awang Hanif Qusyairi bin Awang Sarisumardy, Awang Muhammad Nuraqiel bin Mohammad Ismadi dan Awang Zul'irfan Naufal bin Indra Masrika Lubis dari Sekolah Menengah Lambak Kiri dengan projek bertajuk 'A Vertical Hydroponic System with A United and Cooperative Ecosystem'. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND1,000, pingat perak, trofi dan sijil.


Tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Muhammad Fadhlul Iqbal bin Samsudin, Awang Suwardi bin Salman dan Awang Muhammad Irfan Aqil bin Shahfaizal dari Ma'had Islam Brunei dengan projek 'BinGenius', dengan menerima wang tunai sebanyak BND500, pingat gangsa, trofi dan sijil.


Dalam Kategori ASEAN New Invention and Innovation pula, tempat pertama diraih oleh kumpulan penyelidik dari Nanyang Technological University, Republik Singapura terdiri daripada Li Ziyang, Lao Junying dan Qian Shunzhi, dengan projek mereka 'Development of Sustainable Marine Clay One-Part Geopolymer with Thermodynamic Modeling Optimization'. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND7,000, pingat emas, trofi dan sijil.


Manakala, tempat kedua pula diberikan kepada pasukan dari De La Salle University, Republik Filipina yang terdiri daripada Dr. Michael Promentilla, Jean Armel De Lima and Mikaela Beatrice Sy dengan projek 'Eco-brick from Geopolymer-based Materials' (ECO-BRICK).


Mereka menerima wang tunai sebanyak BND5,000 berserta pingat emas, trofi dan sijil; juga Anugerah Special Award for Sustainable Energy untuk kategori tersebut dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,500.


Sementara tempat ketiga dimenangi oleh Asia Pacific University dari Malaysia dengan projek 'GreenPulse : Intelligent Algae Monitoring and Control for CO2 Sequestration' oleh Thanigai Kumaran Muthukumaran, Kiew Zheng Wei dan Kevin A/L M Das. Mereka menerima wang tunai sebanyak BND3,000, pingat perak, trofi dan sijil.


Bagi Kategori ASEAN Young Inventor, tidak ada pemenang pertama sementara tempat kedua disandang oleh SMK Tengku Lela Segara, Malaysia melalui projek 'Chicken Fat Ointment' (CFO).


Putera Afif Mikhael bin Ahmad Sazani, Nur Azzalea Fareesya binti Mohd Arif Azany and Muhammad Syahir Ammar bin Shauki menerima hadiah wang tunai BND2,000, pingat perak, trofi dan sijil.


Manakala tempat ketiga diberikan kepada para pelajar dari Vareechiangmai School, Thailand, iaitu Lee Zhen Yu, Punn Punnabutr dan Areyachart Mechai dengan projek 'Formulating Paracetamol-Infused Jelly Using Fish Scale Gelatin for Pediatric Use'. Mereka menerima wang tunai sebanyak BND1,000, pingat perak, trofi dan sijil.


CIPTA 2025 menampilkan tiga kategori utama pertandingan, iaitu Kategori Tempatan, Pertandingan Smart Junior dan Kategori ASEAN.


Bagi Kategori Tempatan terdiri daripada tiga cabang berbeza yang merangkumi Local Category One yang memfokuskan kepada mencipta produk, proses dan teknologi baharu; manakala Local Category Two, mengubah suai produk, proses dan teknologi sedia ada; sementara Local Category Three mencipta atau mengubah suai produk, proses dan teknologi baharu atau sedia ada oleh pencipta muda.


Manakala, Smart Junior pula khusus dikhaskan bagi para pelajar sekolah menengah rendah tempatan, sementara Kategori ASEAN dibahagikan kepada dua kategori, iaitu New Invention and Innovation Category; dan ASEAN Young Inventor Category.


Pemilihan para pemenang dilakukan melalui penilaian yang amat ketat oleh panel hakim tempatan dan antarabangsa.


Majlis tersebut turut mencatatkan sejarah apabila buat kali kedua piala Anugerah Khas Duli Pengiran Muda Mahkota dianugerahkan kepada projek inovasi yang cemerlang, selepas kali pertama dianugerahkan pada 2015.


Dalam pada itu, panel hakim berpuas hati dengan proses pertandingan serta kualiti penyertaan yang diterima.


Sebahagian besar produk yang diketengahkan berkait rapat dengan tema Anugerah CIPTA 2025, iaitu 'Inovasi Hijau' atau 'green innovations', yang menekankan idea berasaskan kelestarian alam sekitar dan prinsip taksonomi hijau, ke arah penyelesaian praktikal bagi masa hadapan yang lebih hijau dan mampan.


Kriteria tahap kematangan teknologi, atau 'technology readiness level' juga telah diserapkan di dalam rubrik penilaian bagi menilai kesediaan teknologi secara objektif bagi memastikan inovasi yang dikemukakan bersifat praktikal dan sedia untuk pembangunan lanjut.


Secara keseluruhan, proses dan kriteria penghakiman secara fizikal dan dalam talian adalah memuaskan dan selaras dengan perkembangan penyelidikan serta budaya inovasi di rantau ASEAN.


Close